Reka bentuk bajet: tip daripada Superhost Huma

Editor fesyen dan Superhost mengungkapkan rahsia penjimatan wangnya.
Oleh Airbnb pada 9 Apr 2019
Bacaan 4 minit
Dikemas kini pada 17 Okt 2023

Terletak di daerah Stockwell di London Selatan merupakan kediaman Victoria hijau muda dengan pintu merah jambu raspberi. Tolak tombol pintu tembaga di tengah-tengah, daki tangga yang usang, dan anda akan lihat cahaya matahari terpancar di atas katil vintaj yang terletak di atas lantai kayu lebar dengan dinding berwarna firus terang. Selamat datang ke kediaman Superhost Huma, sebuah rumah bersejarah dengan empat bilik tidur dan kemudahan moden.

“Ia simfoni estetik yang menawan,” kata Mimi dari Vienna, Austria, salah seorang tetamu yang telah mengulas gaya dan hiasan kediaman Huma. “Setiap butiran difikirkan dengan teliti, dan setiap perabot mempunyai kisah tersendiri.”

Apabila melihat ketelitian hiasan Huma, anda mungkin tidak dapat meneka bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pengalaman reka bentuk dalaman, hanya minat terhadap reka bentuk rumah dan keinginan untuk memupuknya melalui menjadi hos.

Superhost ini meluangkan sedikit masa daripada mengecat rak buku untuk berkongsi bagaimana dia mula menjadi hos, tip untuk mengubah suai rumah lama mengikut bajet dan bagaimana dia mengimbangi masa antara menjadi hos dengan kerja sepenuh masa sebagai editor majalah.

Segala-gala di kediaman anda begitu menawan dan dilengkapi dengan baik. Adakah anda mengambil inspirasi daripada pengalaman anda dalam industri majalah?
“Saya bekerja sebagai editor rencana untuk sebuah majalah fesyen bebas. Tetapi saya berminat dengan hiasan dalaman sejak sekian lama, lama sebelum saya mula bekerja dalam majalah. Saya mula mengumpul barang-barang untuk rumah pertama saya sebelum saya membeli rumah—saya suka barang rambang seperti sudu garpu—dan saya sangat sukakan majalah hiasan dalaman. Semua ini sambil berangan-angan bagaimana saya akan menghias rumah pertama saya.”

Dan kemudian anda memutuskan untuk menaruh semua ini untuk menjadi hos di Airbnb?
“Semasa saya mula-mula menyertai pada tahun 2012, Olimpik sedang berlangsung, dan semua orang bercakap tentang berapa banyak wang yang berpotensi untuk dperolehi. Saya tidak merancang untuk jadi kaya, hanya untuk pendapatan tambahan. Saya tiada penyewa ketika itu dan ingin menjual apartmen saya. Saya mula menjadi hos di rumah saya sendiri pada tahun 2016. Sebelum itu, saya ada rakan serumah, dan saya memutuskan untuk mencuba Airbnb di salah satu bilik. Saya ingatkan ini untuk sementara, tapi satu demi satu bilik-bilik saya mula ditempah. Sejak rakan serumah terakhir saya pindah musim panas lepas, ketiga-tiga bilik telah disiarkan di Airbnb. Saya tiada perancangan—ia berkembang secara semula jadi ke tahap ini.”

Beritahu kami tentang pengubahsuian kediaman anda. Nampaknya usaha ini agak mencabar.
“Rumah ini telah melalui pengubahsuaian besar. Saya tidak mahu tahu berapa yang saya belanjakan, tetapi benda yang mahal ialah tenaga kerja: pembina, tukang paip, tukang plaster dan perkara yang saya tidak boleh lakukan sendiri. Dari sudut hiasan, saya kurang berbelanja berbanding yang orang sangkakan. Saya taksub dengan jualan murah. Saya jarang membayar harga runcit penuh untuk apa-apa. Banyak perabot saya adalah vintaj, dan saya membelinya pada harga sangat murah di eBay. Sesetengah barang adalah percuma kerana saya terjumpa sendiri. Seperti ketika saya melawat abang saya, dan saya nampak sebuah kerusi dan menjerit, ‘Hentikan kereta!’ Bentuk kerusi itu amat cantik, dan ia tidak dihurung pepijat—anda sentiasa perlu periksa!—jadi saya boleh mengecat semula. Saya boleh mengubah perabot yang nampak lama asalkan ia mempunyai rangka yang baik.”

Ada apa-apa tip untuk hos yang ingin menghias semula tetapi mungkin merasakan ia menuntut pelaburan masa atau wang yang terlalu besar?
“Pertama sekali, cara yang paling murah untuk mengubah bilik adalah dengan mengecat. Untuk nisbah impak kepada kos, anda boleh melakukan banyak perubahan dengan mengecat. Secara peribadi, saya rasa cat putih adalah pilihan yang teruk. Melainkan anda mempunyai ruang perindustrian jenis loteng, cat putih memberikan suasana suram, membosankan dan sangat cepat kotor. Warna yang paling kerap saya gunakan adalah kelabu. Anda boleh mendapatkan latar belakang neutral yang masuk dengan apa-apa sahaja, tetapi lebih sofistikated berbanding warna putih dan tidak nampak kotor begitu cepat. Kelabu muda adalah pilihan yang baik untuk dicuba jika mereka tidak biasa dengan warna kerana ia senang digabungkan dengan apa-apa sahaja.”

Bagaimana anda mengimbangi kerja sepenuh masa anda dengan menjadi hos?
“Kebanyakan masanya saya bekerja dari rumah, jadi itu benar-benar memberi saya fleksibiliti untuk menjadi hos. Jika saya terpaksa masuk ke pejabat sepanjang hari, saya rasa saya tidak akan dapat melakukannya. Saya membuka dua skrin komputer, dan saya uruskan kerja-kerja pentadbir dan mesej Airbnb saya serta kerja majalah saya pada masa yang sama. Saya tidak selalu boleh menjawab dengan segera, tetapi kebanyakan masanya saya menjawab dalam masa 30 minit dan tetamu biasanya agak kagum dan menghargainya. Jadi saya tidak perlu merenung skrin komputer sepanjang masa. Saya menerima makluman daripada aplikasi Airbnb.

“Pada waktu pagi semasa saya menghirup kopi, saya menyemak semua maklumat terkini supaya saya boleh merancang sepanjang hari saya. Tetapi saya benar-benar perlu terurus, teratur dan berfikir tentang apa yang saya perlu bersihkan dan sediakan terlebih dahulu. Bilik tidur sentiasa perlu didahulukan. Perkara yang paling ingin dielakkan ialah bilik tidur separuh kemas apabila tetamu sampai. Kemudian saya beralih ke bilik mandi.”

Ada apa-apa lagi yang anda ingin tambah?
“Pada awalnya, saya akan bimbang jika dalam sebulan saya tidak mendapat banyak tempahan, tetapi saya belajar untuk lebih bertenang mengenainya. Jika anda melakukan yang terbaik, maka tempahan akan masuk. Yakin dan percaya dengan produk anda. Oh, dan anda tidak akan pernah buat begitu banyak kerja membersih dan dobi sepanjang hayat anda.”

Airbnb
9 Apr 2019
Adakah ini membantu?