Kandungan ini tidak tersedia dalam bahasa pilihan anda, jadi kami telah menyediakannya dalam bahasa terdekat yang tersedia buat masa ini.

Dapatkan lebih banyak ulasan 5 bintang

Pereka bentuk dalaman dan Superhost mendedahkan cara mereka mencipta penginapan yang tidak mudah dilupakan.
Oleh Airbnb pada 26 Mei 2021
Bacaan 9 minit
Dikemas kini pada 26 Mei 2021

Sorotan

  • Tetapkan jangkaan tetamu sebelum mereka menempah

  • Berkomunikasi dengan tetamu dengan pantas dan jelas

  • Pastikan penginapan anda sentiasa bersih, selesa dan tidak berselerak

  • Tambah sentuhan tempatan di mana boleh, daripada karya seni kepada produk mandian

  • Beri tetamu pengalaman yang anda ingin alami jika anda menginap di ruang ini

  • Ketahui lebih lanjut dalam panduan lengkap kami untuk meningkatkan pengehosan anda ke tahap seterusnya

Superhost, usahawan, dan pereka dalaman, Catherine dan Bryan Williamson dari Beginning in the Middle telah membina perniagaan dengan mencipta penginapan bertaraf 5 bintang. Setelah menjadi hos kepada lebih 2,000 tetamu, mereka berkongsi kisah dan tip pakar mereka mengenai cara untuk menjadikan kediaman anda sukar dilupakan.

Superhost Airbnb Catherine dan Bryan berkongsi formula mereka untuk menyampaikan pengalaman 5 bintang.

Catherine: “Bagi kami, memulakan perniagaan Airbnb dan firma reka bentuk kami adalah kemalangan baik yang kami alami. Pada tahun 2013, kami berpindah dari New York City ke Columbus, Ohio—di situlah tempat asal Bryan membesar. Kami mahu ruang yang lebih besar, dan juga mencari tempat di mana kami boleh menetap dan mencipta sesuatu milik sendiri. ”

Bryan: “Kami membeli rumah tiga bilik tidur dan mendapati kami perlu membayar sedikit hutang yang tinggal. Tetapi kami tidak sukakan idea untuk ada rakan serumah sepenuh masa.”

Catherine: “Salah seorang rakan saya mengenali seseorang yang menyenaraikan bilik tidur lebih mereka di Airbnb dan mencadangkan kami untuk mencubanya. Pada masa itu, kami tidak tahu apa itu Airbnb. Bryan dan saya fikir: ‘Okey, jika kita boleh mendapat tempahan 10 malam tahun ini, itu sudah cukup hebat...’”

Bryan: “Kami menyenaraikannya, dan mendapat permintaan yang besar. Tidak lama kemudian, kami memutuskan untuk menyenaraikan seluruh rumah kami. Kami meneroka dan menginap di pelbagai motel di seluruh Columbus sehingga kami menemui motel yang paling tidak teruk. Ia sampai ke tahap di mana kami menginap di sana selama berminggu-minggu pada satu-satu masa. Kami kenal seluruh kakitangan dan kru hotel itu. Tapi sudah tentu itu tidak boleh bertahan.”

Menjadi hos adalah satu bentuk ekspresi artistik dan kreatif untuk kami.
Bryan,
Columbus, OH

Catherine: “Kami melangsaikan hutang kami dan akhirnya membeli satu lagi rumah. Beberapa tahun kemudian, kami mengubah suai dan menjual beberapa kediaman dan menyimpan kediaman kegemaran kami di Airbnb. Kami berhenti kerja pejabat kami, mencipta studio reka bentuk dalaman kami (Mix Design Collective), jenama sewaan percutian kami (The Village Host), dan memulakan blog kami (Beginning in the Middle).”

Bryan: “Bagi kami, kami benar-benar mengambil berat tentang mewujudkan pengalaman istimewa untuk setiap tetamu kami. Dan minat yang mendalam terhadap hospitaliti telah membolehkan kami mewujudkan kehidupan yang betul-betul kami nikmati. Sebagai hos, tidak kira jika anda ada penginapan yang paling mewah, jika anda boleh menyampaikan pengalaman yang luar biasa, anda akan nampak ulasan dan kadar penghunian anda meningkat.”

1. Tetapkan jangkaan

Catherine: “Salah satu rahsia untuk mendapatkan ulasan 5 bintang adalah dengan menetapkan jangkaan tetamu sebelum mereka menekan butang Tempah. Rumah kami sudah lama, dan banyak yang telah kami lakukan untuk menjadikan ia selesa dan cantik. Tetapi ia tidak sempurna, jadi kami cuba memberi seberapa banyak maklumat terlebih dahulu. Contohnya, kami mempunyai lantai dan pintu berdecit.”

Bryan: “Bilik mandi kami kecil. Salah satu unit kami mempunyai dinding yang dikongsi dengan jiran. Kami menyerlahkan perkara ini supaya orang tahu untuk bersikap sopan dan tidak membuat bising. Parti TIDAK dibenarkan.”

Catherine: “Kami ada tab mandi berkaki cakar lama yang lebih tinggi sedikit daripada tab mandi standard—sekiranya tetamu ada keperluan kurang upaya. Sesetengah orang mungkin terganggu oleh keanehan ini. Orang lain mungkin tidak peduli—tetapi kami cuba berhubung dengan orang yang kami tahu akan menikmati kejiranan dan rumah ini.”

2. Jadi penjawab pantas

Bryan: “Berkomunikasi dengan tetamu dengan pantas dan jelas adalah satu bahagian penting daripada pengalaman 5 bintang. Ia akan membantu menunjukkan kepada tetamu anda bahawa anda sentiasa mengambil berat.”

Catherine: “Orang hanya menginap dengan anda dalam masa yang singkat—dan selalunya untuk sesuatu yang penting—jadi anda tidak mahu seseorang melalui separuh penginapan mereka tanpa mendapat jawapan daripada anda atau sesuatu yang rosak dibaiki. Saya memang jenis yang menjawab dalam masa 5 minit, tetapi jika anda rasa anda tidak dapat menjawab dalam masa yang munasabah, cuba dapatkan khidmat hos bersama untuk membantu membalas e-mel dan mesej anda. Kami berusaha sedaya-upaya untuk menunjukkan kepada mereka bahawa kami mengambil berat. Dan kadangkala itu bermakna meninggalkan apa yang anda sedang lakukan untuk menyampaikan pengalaman 5 bintang.”

Ketahui tentang bekerja dengan hos bersama

3. Jadikan ia milik mereka

Catherine: “Berkenaan hiasan dan ruang anda, perkara yang paling penting ialah tetamu berasa seperti ia milik mereka semasa mereka berada di sana. Luangkan masa dan usaha untuk menghias dengan perabot yang unik dengan kemasan dan sentuhan yang berkualiti.”

Bryan: “Dan itu tidak bermakna anda perlu merombak balik seluruh dapur dengan marmar, atau membeli segala-galanya yang terbaik. Saya rasa perkara yang paling penting adalah ia bersih, selesa dan tidak berselerak.”

Catherine: “Ia sepatutnya terasa seperti ia disediakan khas untuk mereka. Ambil masa untuk mengalih gambar peribadi, kenangan keluarga, perhiasan kecil, barang-barang lama dan apa-apa sahaja yang boleh membuat tetamu berasa mereka berada di rumah orang lain.”

Bryan: “Satu unsur penting yang berbaloi untuk dilaburkan ialah katil yang bagus. Sekali lagi, tidak perlu tilam yang mahal, tetapi kami akan menambah alas tilam dan menyertakan dua jenis bantal: bulu kapas dan alternatif bulu kapas.”

Catherine: “Untuk cadar, kami biasanya menggunakan sekurang-kurangnya jenis 300 bebenang yang digunakan oleh kebanyakan hotel. Ia sepatutnya selasa pada kulit dan tidak seperti kertas pasir kerana orang menempah penginapan anda untuk bermalam di sana. Seperti yang kita tahu, khususnya sebagai ibu bapa, tidur malam yang baik adalah satu kemewahan.”

4. Tambah citarasa tempatan

Catherine: “Apabila orang datang menginap dengan anda, ingat bahawa anda bukan sahaja berkongsi rumah anda, anda juga berkongsi pengalaman di bandar anda. Kami cuba menjadikannya lebih peribadi jika boleh. Perniagaan kecil adalah sebahagian besar daripada DNA kami di Columbus—dan kami seronok dapat melibatkan semua orang.”

Bryan: “Kadang-kadang kami akan meninggalkan tetamu sedikit sampel barangan tempatan yang kami suka: kad hadiah kedai kopi tempatan untuk menggalakkan mereka meneroka kejiranan ini. Kami melengkapkan kediaman kami dengan syampu, perapi dan pencuci muka daripada sebuah syarikat tempatan yang bernama Cliff Original. Kami ada sabun tangan semula jadi daripada jenama yang dipanggil Glenn Avenue. Kami ada satu set buku The Columbus Book Project, yang dikarang oleh seorang usahawan tempatan yang menonjolkan artis tempatan. Columbus ialah bandar yang sering dilepas pandang, tetapi ia tempat yang sesuai untuk tinggal, membesar dan melawat—dan ada begitu banyak untuk ditawarkan.”

Catherine: “Kami suka menunjukkan Columbus kepada orang melalui mata kami—dan kami suka bila kami dapat mencipta pengalaman yang membuat orang berkata, ‘Saya ingin pindah ke Columbus.’”

Bryan: “Satu lagi idea kami untuk mengetengahkan komuniti Columbus adalah dengan menggunakan rumah kami sebagai galeri seni atau kelab makan lewat malam untuk mempamerkan artis tempatan yang belum pernah dilihat. Kami ingin mempamerkan beberapa karya di setiap rumah dan menukarnya setiap beberapa bulan. Jadi kreatif dan fikirkan bagaimana kediaman anda dapat mencerminkan citarasa tempatan.”

5. Sentiasa bersedia untuk kecemasan

Bryan: “Meskipun niat dan usaha terbaik anda untuk mencipta pengalaman 5 bintang, situasi kecemasan akan berlaku, dan anda perlu menyelesaikannya—sama ada penyaman udara rosak atau tetamu yang kecewa. Salah satu situasi terburuk yang kami hadapi adalah paip utama pecah. Ia membanjiri rumah semasa tetamu menginap. Mereka asyik menelefon kami...”

Catherine: “... Tapi telefon saya mati.”

Bryan: “... Dan ia berlaku pada malam perkahwinan mereka.”

Catherine: “Ia sangat teruk. Itu satu pengalaman yang besar untuk kami. Apabila perkara seperti itu berlaku, mohon maaf dan gunakan pertimbangan terbaik anda sama ada mereka perlu diberikan pampasan atau jika hadiah seperti kuki, sebotol wain atau sijil hadiah untuk makan malam akan membantu. Jika tetamu benar-benar mengalami pengalaman buruk, maka kami akan membayar balik kepada mereka, tetapi itu biasanya tidak berlaku.”

Bryan: “Kami cuba menggunakan peraturan emas iaitu memberi tetamu pengalaman yang kami mahu jika kami menginap di tempat kami sendiri. Menjadi hos adalah satu bentuk ekspresi artistik dan kreatif untuk kami. Kami meletakkan seluruh jiwa raga ke dalam ruang-ruang ini dan kemudian kami membenarkan seluruh dunia untuk berinteraksi dengannya. Ia sangat bermakna kepada kami untuk merasakan penghargaan daripada tetamu kami.”

Catherine: “Mendapat ulasan 5 bintang hanya mengesahkan semua yang kami lakukan. Semasa kami dalam mod pengubahsuaian, kami berharap seseorang akan menghargai usaha lebih yang kami curahkan. Dan saya rasa jika anda hanya memberi tumpuan kepada jumlah pelaburan hartanah, maka amat mudah untuk mengabaikan beberapa sentuhan tambahan ini.”

Bryan: “Menjadi hos tidak mudah. Ia melibatkan banyak kerja.”

Catherine: “Tetapi ia juga mendatangkan kepuasan dan mengubah kehidupan kami. Ia membolehkan kami mengejar minat kami dalam reka bentuk dalaman dan menemui minat kami dalam hospitaliti. Ia memberi kami keupayaan untuk memulakan perniagaan kami dan berkembang secara berterusan. Saya rasa jika bukan kerana Airbnb, mungkin lebih sukar untuk kami melancarkan perniagaan kami dan mengharungi dunia pemilikan perniagaan kecil. Ia telah membantu kami menyedari keistimewaan kami, iaitu kami benar-benar suka mengubah suai ruang untuk dinikmati oleh orang lain.”

Bryan: “Kami dapat melatih semangat keusahawanan dan kreativiti kami. Apa yang terbaik adalah untuk dapat melakukan sesuatu yang anda minati dan dapat melakukannya untuk diri sendiri.”

Catherine: “Kami harap tip-tip ini membantu anda mendapat lebih banyak ulasan 5 bintang.”

Selamat menyambut tetamu!
Catherine, Bryan + Bianca

Sorotan

  • Tetapkan jangkaan tetamu sebelum mereka menempah

  • Berkomunikasi dengan tetamu dengan pantas dan jelas

  • Pastikan penginapan anda sentiasa bersih, selesa dan tidak berselerak

  • Tambah sentuhan tempatan di mana boleh, daripada karya seni kepada produk mandian

  • Beri tetamu pengalaman yang anda ingin alami jika anda menginap di ruang ini

  • Ketahui lebih lanjut dalam panduan lengkap kami untuk meningkatkan pengehosan anda ke tahap seterusnya
Airbnb
26 Mei 2021
Adakah ini membantu?