Cara untuk mengembangkan perniagaan anda dengan Pengalaman

Hos boleh melakukan sesuatu yang melebihi jangkaan dengan menawarkan aktiviti yang memberikan inspirasi.
Oleh Airbnb pada 17 Jan 2019
Bacaan 3 minit
Dikemas kini pada 7 Jan 2022

Sarapan yang disediakan sendiri, lawatan berjalan kaki, aktiviti kejiranan dan banyak lagi—Superhost akan melakukan sesuatu di luar kebiasaan untuk membuat tetamu rasa dialu-alukan. Malah, kira-kira 30%* daripada hos penginapan Airbnb telah menawarkan lawatan dan aktiviti kepada tetamu. Sesetengah hos juga telah menjadikan tawaran ini rasmi dengan mengembangkan ke dalam Pengalaman.

Superhost Patricia Ramos dan Oscar Fernandez misalnya, merupakan pasangan pertama yang menjadi hos Pengalaman di Cuba. Pasangan itu, yang merupakan profesor ekonomi di Universiti Havana, bermula sebagai hos penginapan. Sekarang, mereka juga menganjurkan empat Pengalaman: pengembaraan budaya dua hari di Havana dan kawasan luar bandar; lawatan separuh hari berjalan kaki sekitar keunikan Havana; lawatan sehari ke desa Cuba untuk menanam kopi, memelihara haiwan, dan hidup berbudi pada alam; di samping berbual-bual selama dua jam tentang ekonomi dan masyarakat Cuba sambil minum Cuba Libres atau minuman pilihan. Selain itu, “kami telah menggalakkan rakan-rakan untuk menganjurkan 15 Pengalaman lain,” kata Oscar.

Patricia dan Oscar bercakap dengan kami tentang bagaimana mereka membawa keusahawanan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Bagaimanakah anda bermula dengan Pengalaman?
Oscar: “Sebenarnya, setiap kali tetamu mendaftar masuk, kami meluangkan dua jam bersama mereka kerana kami mahu memberitahu mereka segala-gala yang kami tahu tentang Cuba. Kami amat berpuas hati dapat berbuat demikian kerana kami rasa kami seperti profesor, cuma melayani pelajar daripada kategori lain.”

Patricia: “Semakin ramai orang mula memberikan ulasan tentang kami dan menulis tentang [lawatan spontan kami]. Apabila Airbnb melancarkan Pengalaman di Cuba, kami terfikir, ‘Apa kata kita cipta Pengalaman seperti yang kita lakukan semasa daftar masuk?’”

Beritahu kami tentang Pengalaman pertama anda, Kembara Seperti Orang Cuba. Apa yang menjadikannya unik?
Patricia: “Biasanya, pelawat antarabangsa yang datang ke Cuba ingin mendengar tentang tembakau, rum dan muzik salsa. Bagaimanapun yang kami ingin lakukan ialah menunjukkan kepada tetamu lebih lagi: cara sistem pendidikan, sistem kesihatan, dan pasaran berfungsi; dan cara orang ramai hidup dengan upah yang rendah. Kami melakukan lawatan berjalan kaki mengelilingi bandar, dan menunjukkan kepada mereka tempat yang bukan untuk pelancong, seperti Coppelia, yang merupakan dunia ais krim. Hanya kira-kira 25 sen USD untuk lima sendok ais krim. Ada kira-kira 30 minit masa menunggu, dan orang ramai bercampur gaul malah mengadakan mesyuarat sambil menunggu di barisan—ia merupakan gambaran masyarakat Cuba. Kami juga membawa tetamu kami menaiki pengangkutan awam, yang bukan kebiasaan [untuk pelancong]. Akhirnya, mereka berasa seperti sudah melakukan sesuatu yang benar-benar hebat dan boleh bercakap tentang cara orang Cuba benar-benar hidup dalam masyarakat sosialis.”

Apakah yang paling menarik menjadi hos Pengalaman?
Oscar: “Pengetahuan dan pengayaan budaya yang amat menakjubkan. Setiap kali, anda berkongsi budaya anda. Kami masih bekerja sebagai profesor di universiti. Oleh itu, kami menggalakkan rakan sejawatan kami yang lebih muda untuk menjadi hos bersama semasa menganjurkan Pengalaman. Kami juga berpendapat bahawa Airbnb telah menjana pekerjaan dan mempertingkat kehidupan. Untuk Pengalaman “Kehidupan di Desa”, kami membawa tetamu ke kawasan luar bandar untuk bertemu rakan-rakan keluarga kami yang hidup berbudi pada alam melalui perikanan dan penanaman buah-buahan serta kopi. Ketika ini, kami membawa tetamu ke sana kira-kira tiga kali seminggu, dan rakan-rakan kami juga sudah menjadi usahawan.”

Ada sebarang nasihat untuk hos lain yang merancang untuk mencipta Pengalaman?
Patricia: “Semuanya berkisar tentang anda mempunyai sesuatu untuk dikongsi dan jika anda benar-benar mahu berkongsi dengan orang lain.”

Oscar: “Sebenarnya, semua ini berkisar tentang bersikap terbuka dengan tetamu anda. Usah berpura-pura, kerana jika tidak, anda akan gagal.”

*Berdasarkan tinjauan dalaman Airbnb kepada lebih 100 orang hos.

Maklumat yang terkandung dalam artikel ini mungkin telah berubah sejak penerbitan.

Airbnb
17 Jan 2019
Adakah ini membantu?