Sorotan Superhost: mengisi penginapan dengan kehidupan selepas kematian

Seorang janda menceritakan bagaimana menyambut tetamu antarabangsa membantu dia terubat.
Oleh Airbnb pada 8 Feb 2019
Bacaan 4 minit
Dikemas kini pada 7 Jan 2022

Superhost Marianne terpaksa berdepan kesepian di Craftsman, sebuah kediaman yang diubah suai oleh dia dan suaminya. Untuk bangkit, Marianne melancarkan perniagaannya dengan membuka rumahnya di California kepada tetamu dari serata dunia. Memetik kata-katanya, dia berkongsi bagaimana dengan menjadi hos telah memberikan pengertian yang baharu dalam hidupnya dan apa maknanya menjadi seorang usahawan wanita:

Apabila kita berinteraksi dengan orang yang datang, wujud satu keadaan yang memanfaatkan.

Apabila saya kehilangan Mike, saya rasa amat sepi, kosong dan tak bermaya. Mike telah menjalani pembedahan pada bulan Mei 2017 dan kami diberitahu bahawa pembedahan itu hanya prosedur yang standard, tetapi Mike menghadapi komplikasi dan telah meninggal dunia kemudian. Kami baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-26 empat hari sebelum Mike pergi.

Anak perempuan saya terpaksa berpindah untuk tinggal bersama-sama saya. Hampir setahun kemudian, dia berpindah ke tempat lain dan tiba-tiba, saya mendapati saya keseorangan di rumah

Saya tidak ingat insiden atau sebab tertentu yang membuatkan saya mula menjadi hos. Hal itu seolah-olah kerap menggamit kesedaran saya. Pada bulan September tahun 2017, saya telah melakukan perjalanan untuk berjumpa rakan di Oregon dan di sana, saya telah menginap di sebuah penginapan Airbnb. Hos yang menerima saya seorang yang baik dan saya menceritakan kepadanya tentang keadaan saya. Pada ketika itu, saya terfikir bahawa menjadi hos mungkin satu peluang untuk saya.

Kematian suami saya telah menghentikan penerimaan pencen dan itu satu kehilangan punca pendapatan yang besar. Saya telah bekerja sebagai guru, penulis dan pereka landskap. Saya tidak berada dalam situasi untuk saya memberikan tumpuan.

Saya membayangkan bahawa Airbnb ialah sumber pendapatan yang mudah. Namun ini masih satu pekerjaan. Sudah tentu, sebagai wanita bujang, saya khuatir tentang keselamatan. Saya telah membeli kunci untuk bilik tetamu dan bilik saya sendiri, tetapi seingat saya, saya hanya mengunci pintu bilik saya sekali apabila seorang tetamu mendaftar masuk sangat lewat pada waktu malam. Seorang rakan saya yang juga merupakan seorang hos mencadangkan saya menulis keterangan tentang penginapan saya untuk menarik tetamu datang dan rasanya saranannya itu menjadi. Kemungkinan hal ini naif, tetapi saya meletakkan satu tahap kepercayaan yang pada kebanyakan masa, manusia ini baik.

Menjadi hos mengelakkan saya daripada terlalu bersendirian. Aktiviti ini menjadi sebab saya perlu memastikan rumah berkeadaan bersih dan saya mempamerkan penampilan yang cekal. Anda sendiri yang perlu bangkit perlahan-lahan. Hal itu sebenarnya bagus.

Saya akan mengenang Mike dengan setiap kedatangan tetamu. Keadaan ini menyedihkan namun sekali gus memperkasa diri saya.

Mike seronok mengubah suai rumah ini. Dia merupakan seorang tukang kayu. Ketika kami membeli rumah ini pada tahun 1995, keadaannya amat teruk dan Mike telah mengubahnya menjadi sebuah rumah yang begitu indah untuk didiami. Ada ketikanya, saya dapat merasai roh dan semangat Mike apabila tetamu datang dan melihat hasil tukangnya dan menyebut, “Oh, wau.”

Saya rasa amat bangga. Cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Indahnya kerana saya dapat berkongsi hal itu.

Pada awalnya, saya akan memberitahu tetamu yang saya telah kematian suami. Lama-kelamaan, saya tidak lagi menjadikan status itu sebagai perkara pertama yang saya kongsi.

Saya amat berbahagia menerima kedatangan tetamu selama ini. Oleh sebab saya tinggal di Santa Monica, tetamu suka hendak ke pantai, dermaga dan Venice. Saya jarang bertemu tetamu saya. Saya masih memerlukan ruang dan masa untuk bersendirian, justeru keadaan ini menepati kehendak saya.

Sekali-sekala, saya dan tetamu akan bersembang sambil minum kopi atau duduk di buaian beranda dengan segelas wain sambil menikmati hembusan bayu laut. Ada antara tetamu itu orang yang mesra untuk diajak berbual. Bagi saya, ini satu peringatan bahawa hidup ini mesti diteruskan, meskipun bunyinya agak klise.

Menjadi hos mengelakkan saya daripada terlalu bersendirian.
Marianne,
Santa Monica, California

Salah seorang tetamu Marianne ialah seorang wanita muda. Saya tidak memberitahunya yang Mike telah meninggal dunia tetapi mungkin dia telah melihat gambar-gambar Mike di rumah. Dia memberitahu saya yang dia telah kehilangan teman lelakinya beberapa bulan sebelum itu dalam satu kemalangan. Lantas, saya mendapati diri saya berada dalam satu situasi yang sangat hebat, yang berupaya untuk membuka bukan setakat rumah saya, tetapi satu ruang untuk dia bercakap tentang kehilangannya dengan seseorang yang mampu memahami. Bagi saya, wanita itu menjadi orang yang saya boleh berbual tentang Mike. Kami saling memahami dan berada dalam situasi yang sama. Kami ada berhubungan beberapa kali melalui mesej teks selepas itu. Tetamu saya itu mungkin akan atau tidak akan kembali, tetapi buat seketika, kami telah saling berhubung.

Sebagai hos, kita berkongsi ruang, namun adakalanya itulah tempat yang kita berkongsi sesuatu yang lebih bermakna.

Dengan membuka pintu kediaman, saya dapat memberikan sesuatu meskipun saya rasa amat lemah.

Sekarang, saya memiliki perniagaan sendiri. Memang benarlah tentang apa yang diperkatakan orang tentang menjadi bos sendiri dan memahami sendiri bagaimana kehidupan kita berevolusi. Wanita akan rasa diperkasa apabila dia menjalankan perniagaannya sendiri.

Bunyinya mungkin agak keterlaluan bagi sesetengah orang, tetapi ada sesuatu yang istimewa apabila kita mengalu-alukan kedatangan orang yang tidak dikenali. Sebagai hos, kita menjadi panduan kepada pengembara yang kelesuan. Dan apabila kita sendiri dalam kepiluan, kesakitan dan keseorangan, interaksi dan hubungan itu memberikan sedikit penyembuhan.

Gambar ihsan Marianne

Airbnb
8 Feb 2019
Adakah ini membantu?